Majlis Khatam Al-Quran 1435H

 Majlis Khatam Al-Quran 1435H
Tarikh: 23 Julai 2014
Masa: 8 pagi

Matlamat: 
Untuk meraikan kemenangan kerana telah berjaya menghabiskan ayat-ayat suci Al-Quran daripada semua surah. Di samping itu, secara tidak langsung murid-murid juga dapat membudayakan Al-Quran seterusnya melahirkan perasaan taqwa untuk sentiasa beribadah kepada Allah s.w.t

Objektif:
1- Merapatkan hubungan antara guru, murid dan semua warga SK Taman Universiti 3.
2- Murid dapat melakukan amal ibadah terutamanya membaca Al-Quran dan dapat diamalkan dalam 
kehidupan seharian.


Majlis dimulakan dengan perarakan peserta khatam Al-Quran ke dewan. Seterusnya, peserta membaca ayat-ayat suci Al-Quran dibawah pimpinan Ustazah Siti Aidah Binti Md Supi. Seramai 22 orang peserta telah mengambil bahagian dalam majlis ini. Seterusnya, persembahan nasyid dan dikir barat dipersembahkan oleh murid-murid Islam SK Tmn Universiti 3. 
Majlis diserikan juga dengan penyampaian hadiah, cenderahati dan sumbangan anak yatim oleh Guru Besar SK Taman Universiti. 

Sebelum pulang, murid-murid diberi sebungkus bubur lambuk.



Program Pertukaran Pelajar Australia International School.

Program pertukaran pelajar dari Australia International School (AIS)  ini telah diadakan pada 21 April dan 23 April 2014. Seramai hampir 180 orang murid AIS  dan 90 orang murid tahun empat dari SK Taman Universiti 3 terlibat dalam program ini.  Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk membuka lembaran baru dalam sejarah sekolah sejajar dengan era globalisasi di samping untuk memperkenalkan sistem pendidikan negara kita kepada dunia luar.
Seawal jam 10 pagi, semua murid SK Taman Universiti 3 telah beratur untuk menyambut kumpulan murid AIS di pekarangan sekolah.  Setibanya murid AIS, paluan kompang mengiringi mereka ke dataran perhimpunan untuk mendengar ucapan aluan daripada Puan Hjh Hamiah Binti Othman iaitu Guru Besar SK Taman Universiti 3. Pertunjukan taekwando turut dipersembahkan sejurus selepas itu.


Kemudian, semua murid AIS dan murid tahun empat yang terpilih dibawa ke dewan untuk pembahagian kumpulan. Setiap murid AIS akan dipasangkan dengan murid SK Taman Universiti 3 dan dibawa masuk ke dalam kelas. 
 Pelbagai aktiviti dalam bilik darjah telah disediakan oleh guru-guru SK Taman Universiti 3 seperti membuat kraftangan, menyediakan aiskrim Malaysia, nyanyian dan pelbagai lagi aktiviti yang merangsang murid-murid tersebut untuk berinteraksi. Aktiviti ini hanya mengambil masa selama 20 minit. Kemudian, murid kedua-dua buah sekolah akan bertukar cenderahati. 

Tepat jam 11 pagi, murid-murid tersebut akan berkumpul di dataran semula untuk aktiviti permainan. Terdapat 3 permainan dalaman seperti ketinting, congkak dan batu seremban diterangkan oleh guru yang bertugas dan dibantu oleh murid SK Taman Universiti 3. Di samping itu, terdapat beberapa acara di padang seperti tarik upih, baling selipar dan kayu beracun. Semua peserta bergembira sepanjang bermain permainan yang telah diaturkan oleh pihak sekolah.


 Di akhir majlis, murid kedua-dua buah sekolah berkumpul untuk berkenal-kenalan serta bergambar. Program ini berakhir pada jam 12 tengah hari.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul

 Majlis Sambutan Maulidur Rasul telah diadakan pada 22 Februari yang lalu di Surau Al-Falah. Majlis ini merupakan majlis anjuran bersama Surau Al-Falah, Taman Universiti. 

Tujuan diadakan majlis ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid-murid sekolah agar sentiasa mengingati sejarah hidup Rasullullah s.a.w untuk dijadikan panduan hidup.

Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang mempunyai nilai akhlak yang baik dan tinggi serta etika diri yang kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan sosial masyarakat masa kini.
Majlis bermula pada pukul 7.15 pagi dimana semua murid berkumpul di dataran sekolah. Kemudian, murid yang terdiri daripada pasukan rumah sukan telah berarak ke Surau Al-Falah dan diawasi oleh pihak polis dan warga guru SK Taman Universiti 3.
Antara aturcara majlis pada hari tersebut ialah Ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Mohd Rifqi Bin Myiddin, persembahan nasyid serta penyampaian hadiah bagi pertandingan yang telah diadakan lebih awal lagi.

Majlis tamat pada pukul 12 tengah hari.

Hari Keluarga & Jamuan Akhir Tahun Badan Kebajikan Guru dan Staf 2013

 Hari Keluarga & Jamuan Akhir Tahun Badan Kebajikan Guru & Staf (BKGS) Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 3 telah diadakan dengan jayanya pada 16 November 2013 yang lalu di Le Grandeur Palm Resort, Senai Johor Bahru.
Majlis bermula jam 2 petang ini telah dihadiri lebih kurang 39 orang guru & staf.

Objektif majlis tersebut adalah untuk merapatkan hubungan sesama ahli kelab dan sebagai aktiviti penutup tahun 2013.
Aktiviti pada hari tersebut, dimulakan dengan sukaneka. Sebanyak 4 kumpulan telah dibentuk untuk bermain 5 permainan yang telah disediakan oleh pihak resort.
Kemudian semua ahli kelab telah dijamu dengan minuman petang sementara menunggu acara makan malam.
Tepat jam 6.30 petang semua ahli kelab telah menikmati makan malam yang bertemakan "Hawaiian BBQ Nite".
Majlis berakhir pada jam 10 malam.