Program Pertukaran Pelajar Australia International School.

Program pertukaran pelajar dari Australia International School (AIS)  ini telah diadakan pada 21 April dan 23 April 2014. Seramai hampir 180 orang murid AIS  dan 90 orang murid tahun empat dari SK Taman Universiti 3 terlibat dalam program ini.  Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk membuka lembaran baru dalam sejarah sekolah sejajar dengan era globalisasi di samping untuk memperkenalkan sistem pendidikan negara kita kepada dunia luar.
Seawal jam 10 pagi, semua murid SK Taman Universiti 3 telah beratur untuk menyambut kumpulan murid AIS di pekarangan sekolah.  Setibanya murid AIS, paluan kompang mengiringi mereka ke dataran perhimpunan untuk mendengar ucapan aluan daripada Puan Hjh Hamiah Binti Othman iaitu Guru Besar SK Taman Universiti 3. Pertunjukan taekwando turut dipersembahkan sejurus selepas itu.


Kemudian, semua murid AIS dan murid tahun empat yang terpilih dibawa ke dewan untuk pembahagian kumpulan. Setiap murid AIS akan dipasangkan dengan murid SK Taman Universiti 3 dan dibawa masuk ke dalam kelas. 
 Pelbagai aktiviti dalam bilik darjah telah disediakan oleh guru-guru SK Taman Universiti 3 seperti membuat kraftangan, menyediakan aiskrim Malaysia, nyanyian dan pelbagai lagi aktiviti yang merangsang murid-murid tersebut untuk berinteraksi. Aktiviti ini hanya mengambil masa selama 20 minit. Kemudian, murid kedua-dua buah sekolah akan bertukar cenderahati. 

Tepat jam 11 pagi, murid-murid tersebut akan berkumpul di dataran semula untuk aktiviti permainan. Terdapat 3 permainan dalaman seperti ketinting, congkak dan batu seremban diterangkan oleh guru yang bertugas dan dibantu oleh murid SK Taman Universiti 3. Di samping itu, terdapat beberapa acara di padang seperti tarik upih, baling selipar dan kayu beracun. Semua peserta bergembira sepanjang bermain permainan yang telah diaturkan oleh pihak sekolah.


 Di akhir majlis, murid kedua-dua buah sekolah berkumpul untuk berkenal-kenalan serta bergambar. Program ini berakhir pada jam 12 tengah hari.

Tiada ulasan: